Pengenalan
Era perkembangan teknologi masa kini mempengaruhi setiap
bidang kehidupan. Aspek teknologi telah digabungkan dalam kurikulum sekolah
sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap yang
positif terhadap perkembangan teknologi. Budaya persekolahan seharusnya diubah
daripada sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan,
berpemikiran, kreatif,dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini ( KPM,
1997 ). Atas alasan inilah pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan
berhasrat untuk mengujudkan Sekolah Bestari yang sekali gus bertindak mengisi
agenda perancangan , dan perlaksanaan Koridor Raya Multimedia ( Multimedia
Super Corridor atau MSC ). Perlaksanaan Sekolah Bestari akan membuka ruang
seluas-luasnya kepada teknologi komputer yang akan membolehkan fleksibiliti dan
kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan. Suasana ini akan mengurangkan
jurang peluang antara mereka yang berada dan berupaya menggunakan teknologi
terkini di rumah, dengan mereka yang kurang berada ( KPM, 1997 ).
Pengajaran Berbantukan
Komputer
Perubahan yang sedang melanda dalam dunia pendidikan kini
tentunya akan merubah kandungan dan reka bentuk kurikulum setiap mata pelajaran
( Jamaludin, 1989; Nik Azis, 1989). Kurikulum matematik juga tidak dapat lari
daripada arus teknologi ini ( Fatimah & Munirah, 1995; PPK, 1993;Nik Azis,
1989). Pendidikan komputer dalam kurikulum melibatkan tiga peranan penting (Nik
Azis, 1989 );
1. Pembelajaran tentang komputer
perisian, perkakasan dan pengaturcaraan komputer
2. Penggunaan komputer untuk
menyelenggara dan memproses data
- memproses data penyelidikan
- memproses perkataan
3.Penggunaan komputer untuk membantu
proses pengajaran dan pembelajaran
- pengaturan murid
- pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ( PPBK
).
Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (PPBK)
ialah aturcara komputer yang menggunakan teknik-teknik kepintaran buatan untuk
membantu seseorang belajar ( Jamaluddin, 1989 ). Mikrokomputer digunakan untuk
menyelenggara aktiviti pengajaran dengan berpandu kepada program yang dibentuk
oleh penulis perisian. Murid berinteraksi dengan program komputer atau perisian
melalui terminal (Nik Azis,1989).
Dalam pengajaran berbantukan komputer ( CAI ), komputer
boleh dianggap sebagai tutor atau guru. Dalam proses pengajaran sebenar dalam
bilik darjah, guru berperanan sebagai pengajar (instructor), penerang
(explaner) dan pemudahcara (facilitator). Semua peranan ini boleh diambil alih
oleh komputer dalam CAI ( Abd. Rahman, 1995 ). Pengajaran berbantukan komputer
melibatkan sistem tutorial, permainan dan simulasi di samping aktiviti latih
tubi ( PPK, 1993; Jamaludin, 1989 ).
Komputer Dalam
Pendidikan Matematik
Penggunaan komputer dalam pengajaran matematik dapat
memperkembang dan memperkayakan lagi tajuk yang diajar. Lebih seabad yang lalu,
NCTM (National Council of Teachers' of Mathematics, 1980) mencadangkan supaya
pengajaran matematik mengambil peluang luas yang ditawarkan oleh komputer.
Cockcroft (1982) menyarankan bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran
matematik bukan sahaja boleh memperbaiki kualiti pengajaran matematik malah
penggunaan komputer juga boleh merubah kepentingan sesuatu tajuk dalam silibus
matematik. Keadaan yang sama juga mungkin wujud dalam pengajaran dan pembelajaran
matapelajaran lain di sekolah. Aktiviti penyelesaian masalah adalah bahagian
terpenting dalam pendidikan matematik. Pencapaian yang tinggi dalam matematik
tidak bermakna jika seseorang pelajar tidak mampu melakukan proses penyelesaian
masalah. Laporan Cockcroft (1982) menegaskan bahawa masalah matematik harus
diterjemahkan kepada sebutan dan bahasa matematik sebelum ianya diselesaikan.
Langkah terjemahan seperti ini memerlukan fahaman yang lengkap terhadap
struktur konsep yang terkandung dalam masalah tersebut. Keadaan ini telah
menyebabkan kesukaran pembelajaran di kalangan setengah-setengah pelajar.
Masalah dan kesukaran ini boleh diatasi melalui penggunaan komputer ( Al
Ghamdi, 1987; Lim, 1989 ).
Dalam beberapa kajian yang telah dijalankan (Funkhouser,
1993; Henderson and Landersman, 1992, Chazan, 1988; McCoy, 1991; Al Ghamdi,
1987) didapati :
- pelajar
yang menggunakan komputer dalam matematik mempunyai sikap yang lebih
positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berkeupayaan
menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.
- Perisian
komputer yang digunakan dalam proses pengajaran akan dapat membantu
pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah dan berkesan
- Pencapaian
pelajar dalam peperiksaan akhir menunjukkan peningkatan yang ketara
- Kumpulan
yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat
dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat menggunakannya dalam
bidang-bidang lain.
Kelembapan dan kebantutan perkembangan CAI dalam pendidikan
matematik khususnya, pada pertengahan tahun 70 an hingga 80 an adalah
disebabkan oleh kos perkakasan komputer yang terlalu tinggi, bilangan perisian
yang sedikit, kemahiran dan pengetahuan tentang komputer yang rendah dan tidak
kurang juga kebimbangan dan kurang keyakinan di kalangan pendidik ( PPK, 1993
). Walau bagaimanapun keadaan tersebut telah berubah, di mana harga komputer
telah banyak menurun dan mampu dibeli oleh ramai orang serta berbagai kursus
telah dan sedang dianjurkan oleh pihak kementerian untuk memberi kesedaran,
keyakinan, pengetahuan serta kemahiran dalam penggunaan komputer.
Dalam pendidikan matematik, komputer
boleh berperanan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti berikut
- Penghasilan Bahan Kurikulum
- Latih Tubi
- Tutorial
- Ulangkaji
- Pemulihan dan Pengayaan
- Simulasi
- Pengiraan
- Alat Bantu Mengajar
- Tutee
Penggunaan spreadsheet
Terdapat banyak kajian tentang penggunaan spreadsheet dalam
pengajaran matematik. Kajian-kajian yang telah dijalankan mencadangkan berbagai
cara penggunaan spreadsheet dalam pengajaran matematik ( Janet, 1988; Lim,
1995; Fatimah & Munirah, 1995). Ada juga kajian yang mencadangkan penggunaan
spreadsheet dapat mengurangkan kesilapan konsep tentang sesetengah konsep
matematik ( Catterall and Lewis, 1985 dalam Fatimah & Munirah, 1995 ).
Mungkin guru-guru di Malaysia juga boleh menggunakan speadsheet dalam
pengajaran matematik sementara menunggu pakej CAI yang sesuai.
Penggunaan multimedia
Multimedia adalah teknologi maklumat terkini yang
membenarkan integrasi dan manipulasi video, audio, teks, grafik dan animasi (
Baharuddin & Mohd, 1995 ). Multimedia berasaskan komputer boleh menjadikan
proses pendidikan suatu pengalaman yang menyeronokkan dan menarik di samping
membantu pelajar memahami sesuatu konsep dengan cepat dan mudah ( Brown &
Bush, 1992; Toh & Ng, 1994; Rio & Kasiran, 1994; Baharuddin & Mohd,
1995 ). Penggunaan multimedia mempunyai peranan penting dalam pendidikan
matematik. Antaranya ialah multimedia boleh;
1. memberi peluang kepada pelajar untuk belajar sendiri
berdasarkan kemampuan masing-masing.
2. memudah dan mempercepatkan
kefahaman sesuatu konsep matematik.
3. menjadikan aktiviti pembelajaran
menarik dan menyeronokkan
4. membekalkan lebih banyak maklumat
dan pengetahuan kepada pelajar
5. membantu pelajar mengulangi
sesuatu isi pelajaran berulang kali
Penggunaan Internet
Internet atau ' International Network of Networks ' ialah
sebuah rangkaian komputer diperingkat antarabangsa. Ia mengandungi lebih
daripada 50 ribu rangkaian komputer di seluruh dunia, lebih daripada 6.6 juta
komputer hos dan lebih daripada 50 juta pengguna dari lebih daripada 160 buah
negara ( Zoraini, 1995 ). Dalam rangkaian Internet, terdapat berbagai jenis
sumber yang berjuta-juta bilangannya. Sumber ini termasuklah kertas
persidangan, artikel majalah, perisian komputer, gambar, video dan sebagainya.
Seseorang guru boleh mendapat rancangan pengajaran dari guru lain atau pun dari
komputer yang menyimpannya. Atau pun sumber pengajaran seperti peta, gambar
dari angkasa lepas dan sebagainya boleh didapati dalam Internet.
Di dalam Internet terdapat lebih daripada 8 000 kumpulan
diskusi eletronik. Kumpulan ini mungkin terdiri dari beberapa orang sehinggalah
ke beberapa ribu orang yang berbincang tentang perkara yang sama, termasuklah
tentang matematik. Topik-topik perbincangan bermacam-macam dari Antropologi
sehinggalah ke Zoologi. Bagi guru matematik, terdapat beberapa kumpulan diskusi
eletronik yang dapat disertai secara percuma. Antaranya; IMSE-L dan MATHEDCC.
Selain daripada diskusi eletronik, WWW (World Wide Web) juga menyediakan berbagai
sumber pengajaran dan pembelajaran , khususnya dalam bidang matematik (
Zoraini, 1995; Lee, 1996 )
Beberapa tajuk yang boleh diperolehi
dari WWW :
- Global Network Navigator - Mathematic
- Math Section
- Mathematics - Singapore Min of Education
- Math Launchpad
- Mathematics Archives - K12 Internet Sites
- K-8 dan K-12 Mathematics Education
- Math and Numbers
- The Math Forum
- Ask Dr Math
- Math Archives
- Internet Math Class
- Forum Guru dan Pelajar - TM School On Line
- Nota dan Soalan Latihan ( UPSR, PMR dan SPM ) - TM
School On Line
Menyedari potensi dan keupayaan Internet sebagai wadah
komunikasi dan interaksi eletronik yang berkesan maka Kementerian Pendidikan
telah mengambil langkah untuk memperkenalkan Internet kepada para pelajar dan
pendidik. Dengan kerjasama serta bantuan kepakaran daripada MIMOS, Kementerian
Pendidikan telah melancarkan projek Jaringan Pendidikan ( Sulaiman, 1996 ).
Dalam perlaksanaan projek ini, Kementerian Pendidikan telah:
- menyediakan
kemudahan dan perkhidmatan rangkaian kepada para pelajar dan golongan
pendidik di sekolah dan maktab-maktab perguruan
- melatih
dan membimbing guru-guru dengan kemahiran menggunakan kemudahan yang
disediakan
- merancang,
melaksana dan menyelia pelbagai aktiviti pendidikan berasaskan penggunaan
rangkaian meluas ke arah mengembangkan minda dan pengetahuan di samping
menggalakkan perlaksanaan pelbagai aktiviti kreatif dan inovatif
berasaskan teknologi maklumat
Segala kemudahan yang sedia ada perlu dimanfaatkan
sepenuhnya. Bidang teknologi maklumat yang menjadi sebahagian daripada
kandungan sukatan kursus akan memberi peluang kepada guru pelatih untuk
menambahkan pengetahuan dan meningkatkankemahiran dalam penggunaan komputer,
khususnya untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Tambahan pula pada hari
ini, terdapat berbagai program pendidikan yang dicipta dan dipasarkan, yang
meliputi hampir semua peringkat.
Penutup
Penggunaan komputer dalam pendidikan adalah merupakan
langkah awal ke arah mewujudkan masyarakat berteknologi selaras dengan hasrat
Wawasan 2020. Institusi pendidikan sebagai wadah terpenting perlu mengalami
perubahan terlebih awal berbanding dengan institusi-institusi lain ke arah
mencapai matlamat tersebut. Potensi dan kecanggihan teknologi perlu
dimanfaatkan sepenuhnya.
Untuk mancapai matlamat pendidikan di Malaysia, satu anjakan
paradigma diperlukan dalam cara pemikiran dan penggunaan teknologi ( Wan Zahid,
1996 ). Usaha perlu dibuat dan penglibatan secara menyeluruh perlu dilakukan
sehingga kita mampu mereka dan menghasilkan sesuatu mengikut acuan pemikiran
kita sendiri, tanpa bersandar dan berharap kepada orang lain. Selagi kita
bertaraf ‘pengguna’, selagi itulah kita tidak mampu merubah apa-apa.
No comments:
Post a Comment