Saturday, 10 December 2011

Rancangan Pengajaran Harian Sains


Rancangan Pelajaran Harian MataPelajaran Sains

Tarikh  dan  hari  :  3   Oktober   2011  (Isnin)

Masa:  0850 – 0950  (60  minit)

Bilangan  murid:   8  orang

Tahun:  Tiga

Tajuk:  Ciri-ciri  luaran  haiwan

Objektif  Pembelajaran: Memerhati  dan  mengenali  ciri-ciri  luaran  haiwan

Hasil  pembelajaran:  Di  akhir  pelajaran  murid  dapat:

1.  Mengenal  pasti  ciri-ciri  luaran  haiwan.

2.  Menyenaraikan  sekurang-kurangnya  8  ciri-ciri  luaran  haiwan

3.  Merekod  ciri-ciri luaran haiwan dalam jadual

4.  Menerangkan  persamaan  dan  perbezaan  di  antara  haiwan  berdasarkan  jadual.

Langkah

Isi  pelajaran

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran

Catatan/BBM

Set induksi (5minit)
Mengenal  pasti ciri-ciri luaran  haiwan
1. Guru memberikan pantun teka-teki mengenai haiwan kepada 5 orang murid.
2.   Murid diminta meneka jawapan bagi teka-teki tersebut.
3.   Murid diminta melekatkan 5 jawapan (kad gambar haiwan) yang diteka oleh mereka di papan tulis.
4.  Guru mengaitkan aktiviti yang dijalankan dengan tajuk pelajaran hari ini.

.·Kad pantun teka-teki ·Kad gambar haiwan

Langkah 1 (10minit)
Menyenaraikan ciri-ciri luaran haiwan
1.  Murid diminta menyenaraikan ciri-ciri luaran haiwan.
2.  Guru menunjukkan ciri-ciri luaran haiwan yang telah disebutkan oleh murid dalam bentuk peta minda.

· Power point slide
Langkah2 (20minit)
Mengelaskan ciri-ciri luaran haiwan mengikutkumpulannya.
1. Setiap murid diberikan sekeping gambar haiwan.
2. Murid-murid diminta menyebutkan ciri-ciri luaran yang terdapat pada setiap haiwan tersebut.
3. Guru menyediakan 5 stesen mengikut ciriciri luaran haiwan iaitu:
i. Stesen1: Haiwan yang mempunyai kaki empat dan berbulu halus.
ii. Stesen2: Haiwan yang berkaki dua dan berbulu pelepah
iii. Stesen3: Haiwan yang mempunyai banyak kaki
iv. Stesen4: Haiwan yang mempunyai cangkerang
v. Stesen5: Haiwan yang tiada kaki dan bersisik
4. Sambil memegang gambar,murid-murid diminta bergerak ke stesen yang berkaitan dengan ciri-ciri luaran yang terdapat pada haiwan yang dipegang oleh mereka.

 ·Kad gambar haiwan

Langkah3
(20minit)
Persamaan
dan
perbezaan
haiwan
1. Guru melekatkan gambar haiwan pada papan tulis.
2.  Murid dibahagikan kepada 2 kumpulan.
3. Murid diminta mengelaskan haiwan-haiwan yang dilekatkan di papan tulis kepada lima kumpulan di dalam manila kad iaitu:
i. Haiwan yang mempunyai kaki empat dan berbulu halus.
ii. Haiwan yang berkaki dua dan berbulu pelepah.
iii. Haiwan yang mempunyai banyak kaki
iv. Haiwan yang mempunyai cangkerang
 v. Haiwan yang tiada kaki dan bersisik.
4. Wakil setiap kumpulan membentangkan hasil kerja mereka di hadapan kelas.

·Manila kad ·Marker pen

Penutup
(5minit)
Rumusan
Isi
pelajaran
1. Guru membuat rumusan akhir isi pelajaran.
2. Murid dikehendaki mencari perkataan tersembunyi dan mengelaskan perkataan itu mengikut kumpulannya.


Refleksi
Murid  dapat  menjalankan  aktiviti  dengan  baik  dan  lancar.  Ketika  menjalankan  aktiviti,  murid  melibatkan  diri  secara  aktif  dan  baik.  Objektif  tercapai  kerana  murid  dapat  mengenal  pasti  jenis-jenis  haiwan  dan  mengelaskan  mereka  dengan  betul.

..

Kaedah Inkuiri-penemuan

Tajuk:  Menguji  kanji  di  dalam  daun
Prosedur:  Murid  menjalankan  eksperimen  berikut:
1.  Murid  mendidih  daun  untuk  mematikan  sel  daun.
2.  Kemudian  daun  tersebut  direndam  di  dalam  alkohol  dengan  tujuan  melarutkan  klorofil.
3.  Bagi  melembutkan  daun,  ia  disejukkan  di  bawah  air  sejuk.
4.  Benerapa  titik  iodin  dititiskan  ke  atas  daun.
5.  Warna  biru  kehitaman  menunjukkan  adanya  kanji  di  dalam  daun.
Nota: Melalui  kaedah  inkuiri-penemuan,  murid-murid  akan  membuat  rumusan  bahawa  kanji  terdapat  di  dalam  daun.


Pengenalan pengajaran dan pembelajaran


Pengenalan

Era perkembangan teknologi masa kini mempengaruhi setiap bidang kehidupan. Aspek teknologi telah digabungkan dalam kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi. Budaya persekolahan seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif,dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini ( KPM, 1997 ). Atas alasan inilah pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan berhasrat untuk mengujudkan Sekolah Bestari yang sekali gus bertindak mengisi agenda perancangan , dan perlaksanaan Koridor Raya Multimedia ( Multimedia Super Corridor atau MSC ). Perlaksanaan Sekolah Bestari akan membuka ruang seluas-luasnya kepada teknologi komputer yang akan membolehkan fleksibiliti dan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan. Suasana ini akan mengurangkan jurang peluang antara mereka yang berada dan berupaya menggunakan teknologi terkini di rumah, dengan mereka yang kurang berada ( KPM, 1997 ).





Pengajaran Berbantukan Komputer

Perubahan yang sedang melanda dalam dunia pendidikan kini tentunya akan merubah kandungan dan reka bentuk kurikulum setiap mata pelajaran ( Jamaludin, 1989; Nik Azis, 1989). Kurikulum matematik juga tidak dapat lari daripada arus teknologi ini ( Fatimah & Munirah, 1995; PPK, 1993;Nik Azis, 1989). Pendidikan komputer dalam kurikulum melibatkan tiga peranan penting (Nik Azis, 1989 );

1. Pembelajaran tentang komputer perisian, perkakasan dan pengaturcaraan komputer

2. Penggunaan komputer untuk menyelenggara dan memproses data

  • memproses data penyelidikan
  • memproses perkataan

3.Penggunaan komputer untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran

  • pengaturan murid
  • pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ( PPBK ).

Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) ialah aturcara komputer yang menggunakan teknik-teknik kepintaran buatan untuk membantu seseorang belajar ( Jamaluddin, 1989 ). Mikrokomputer digunakan untuk menyelenggara aktiviti pengajaran dengan berpandu kepada program yang dibentuk oleh penulis perisian. Murid berinteraksi dengan program komputer atau perisian melalui terminal (Nik Azis,1989).

Dalam pengajaran berbantukan komputer ( CAI ), komputer boleh dianggap sebagai tutor atau guru. Dalam proses pengajaran sebenar dalam bilik darjah, guru berperanan sebagai pengajar (instructor), penerang (explaner) dan pemudahcara (facilitator). Semua peranan ini boleh diambil alih oleh komputer dalam CAI ( Abd. Rahman, 1995 ). Pengajaran berbantukan komputer melibatkan sistem tutorial, permainan dan simulasi di samping aktiviti latih tubi ( PPK, 1993; Jamaludin, 1989 ).





Komputer Dalam Pendidikan Matematik

Penggunaan komputer dalam pengajaran matematik dapat memperkembang dan memperkayakan lagi tajuk yang diajar. Lebih seabad yang lalu, NCTM (National Council of Teachers' of Mathematics, 1980) mencadangkan supaya pengajaran matematik mengambil peluang luas yang ditawarkan oleh komputer. Cockcroft (1982) menyarankan bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran matematik bukan sahaja boleh memperbaiki kualiti pengajaran matematik malah penggunaan komputer juga boleh merubah kepentingan sesuatu tajuk dalam silibus matematik. Keadaan yang sama juga mungkin wujud dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran lain di sekolah. Aktiviti penyelesaian masalah adalah bahagian terpenting dalam pendidikan matematik. Pencapaian yang tinggi dalam matematik tidak bermakna jika seseorang pelajar tidak mampu melakukan proses penyelesaian masalah. Laporan Cockcroft (1982) menegaskan bahawa masalah matematik harus diterjemahkan kepada sebutan dan bahasa matematik sebelum ianya diselesaikan. Langkah terjemahan seperti ini memerlukan fahaman yang lengkap terhadap struktur konsep yang terkandung dalam masalah tersebut. Keadaan ini telah menyebabkan kesukaran pembelajaran di kalangan setengah-setengah pelajar. Masalah dan kesukaran ini boleh diatasi melalui penggunaan komputer ( Al Ghamdi, 1987; Lim, 1989 ).

Dalam beberapa kajian yang telah dijalankan (Funkhouser, 1993; Henderson and Landersman, 1992, Chazan, 1988; McCoy, 1991; Al Ghamdi, 1987) didapati :

  • pelajar yang menggunakan komputer dalam matematik mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.
  • Perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran akan dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah dan berkesan
  • Pencapaian pelajar dalam peperiksaan akhir menunjukkan peningkatan yang ketara
  • Kumpulan yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat menggunakannya dalam bidang-bidang lain.

Kelembapan dan kebantutan perkembangan CAI dalam pendidikan matematik khususnya, pada pertengahan tahun 70 an hingga 80 an adalah disebabkan oleh kos perkakasan komputer yang terlalu tinggi, bilangan perisian yang sedikit, kemahiran dan pengetahuan tentang komputer yang rendah dan tidak kurang juga kebimbangan dan kurang keyakinan di kalangan pendidik ( PPK, 1993 ). Walau bagaimanapun keadaan tersebut telah berubah, di mana harga komputer telah banyak menurun dan mampu dibeli oleh ramai orang serta berbagai kursus telah dan sedang dianjurkan oleh pihak kementerian untuk memberi kesedaran, keyakinan, pengetahuan serta kemahiran dalam penggunaan komputer.

Dalam pendidikan matematik, komputer boleh berperanan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti berikut

  • Penghasilan Bahan Kurikulum
  • Latih Tubi
  • Tutorial
  • Ulangkaji
  • Pemulihan dan Pengayaan
  • Simulasi
  • Pengiraan
  • Alat Bantu Mengajar
  • Tutee





Penggunaan spreadsheet

Terdapat banyak kajian tentang penggunaan spreadsheet dalam pengajaran matematik. Kajian-kajian yang telah dijalankan mencadangkan berbagai cara penggunaan spreadsheet dalam pengajaran matematik ( Janet, 1988; Lim, 1995; Fatimah & Munirah, 1995). Ada juga kajian yang mencadangkan penggunaan spreadsheet dapat mengurangkan kesilapan konsep tentang sesetengah konsep matematik ( Catterall and Lewis, 1985 dalam Fatimah & Munirah, 1995 ). Mungkin guru-guru di Malaysia juga boleh menggunakan speadsheet dalam pengajaran matematik sementara menunggu pakej CAI yang sesuai.





Penggunaan multimedia

Multimedia adalah teknologi maklumat terkini yang membenarkan integrasi dan manipulasi video, audio, teks, grafik dan animasi ( Baharuddin & Mohd, 1995 ). Multimedia berasaskan komputer boleh menjadikan proses pendidikan suatu pengalaman yang menyeronokkan dan menarik di samping membantu pelajar memahami sesuatu konsep dengan cepat dan mudah ( Brown & Bush, 1992; Toh & Ng, 1994; Rio & Kasiran, 1994; Baharuddin & Mohd, 1995 ). Penggunaan multimedia mempunyai peranan penting dalam pendidikan matematik. Antaranya ialah multimedia boleh;

1. memberi peluang kepada pelajar untuk belajar sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing.

2. memudah dan mempercepatkan kefahaman sesuatu konsep matematik.

3. menjadikan aktiviti pembelajaran menarik dan menyeronokkan

4. membekalkan lebih banyak maklumat dan pengetahuan kepada pelajar

5. membantu pelajar mengulangi sesuatu isi pelajaran berulang kali





Penggunaan Internet

Internet atau ' International Network of Networks ' ialah sebuah rangkaian komputer diperingkat antarabangsa. Ia mengandungi lebih daripada 50 ribu rangkaian komputer di seluruh dunia, lebih daripada 6.6 juta komputer hos dan lebih daripada 50 juta pengguna dari lebih daripada 160 buah negara ( Zoraini, 1995 ). Dalam rangkaian Internet, terdapat berbagai jenis sumber yang berjuta-juta bilangannya. Sumber ini termasuklah kertas persidangan, artikel majalah, perisian komputer, gambar, video dan sebagainya. Seseorang guru boleh mendapat rancangan pengajaran dari guru lain atau pun dari komputer yang menyimpannya. Atau pun sumber pengajaran seperti peta, gambar dari angkasa lepas dan sebagainya boleh didapati dalam Internet.

Di dalam Internet terdapat lebih daripada 8 000 kumpulan diskusi eletronik. Kumpulan ini mungkin terdiri dari beberapa orang sehinggalah ke beberapa ribu orang yang berbincang tentang perkara yang sama, termasuklah tentang matematik. Topik-topik perbincangan bermacam-macam dari Antropologi sehinggalah ke Zoologi. Bagi guru matematik, terdapat beberapa kumpulan diskusi eletronik yang dapat disertai secara percuma. Antaranya; IMSE-L dan MATHEDCC. Selain daripada diskusi eletronik, WWW (World Wide Web) juga menyediakan berbagai sumber pengajaran dan pembelajaran , khususnya dalam bidang matematik ( Zoraini, 1995; Lee, 1996 )

Beberapa tajuk yang boleh diperolehi dari WWW :

  • Global Network Navigator - Mathematic
  • Math Section
  • Mathematics - Singapore Min of Education
  • Math Launchpad
  • Mathematics Archives - K12 Internet Sites
  • K-8 dan K-12 Mathematics Education
  • Math and Numbers
  • The Math Forum
  • Ask Dr Math
  • Math Archives
  • Internet Math Class
  • Forum Guru dan Pelajar - TM School On Line
  • Nota dan Soalan Latihan ( UPSR, PMR dan SPM ) - TM School On Line


Menyedari potensi dan keupayaan Internet sebagai wadah komunikasi dan interaksi eletronik yang berkesan maka Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah untuk memperkenalkan Internet kepada para pelajar dan pendidik. Dengan kerjasama serta bantuan kepakaran daripada MIMOS, Kementerian Pendidikan telah melancarkan projek Jaringan Pendidikan ( Sulaiman, 1996 ). Dalam perlaksanaan projek ini, Kementerian Pendidikan telah:

  • menyediakan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian kepada para pelajar dan golongan pendidik di sekolah dan maktab-maktab perguruan
  • melatih dan membimbing guru-guru dengan kemahiran menggunakan kemudahan yang disediakan
  • merancang, melaksana dan menyelia pelbagai aktiviti pendidikan berasaskan penggunaan rangkaian meluas ke arah mengembangkan minda dan pengetahuan di samping menggalakkan perlaksanaan pelbagai aktiviti kreatif dan inovatif berasaskan teknologi maklumat

Segala kemudahan yang sedia ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Bidang teknologi maklumat yang menjadi sebahagian daripada kandungan sukatan kursus akan memberi peluang kepada guru pelatih untuk menambahkan pengetahuan dan meningkatkankemahiran dalam penggunaan komputer, khususnya untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Tambahan pula pada hari ini, terdapat berbagai program pendidikan yang dicipta dan dipasarkan, yang meliputi hampir semua peringkat.





Penutup

Penggunaan komputer dalam pendidikan adalah merupakan langkah awal ke arah mewujudkan masyarakat berteknologi selaras dengan hasrat Wawasan 2020. Institusi pendidikan sebagai wadah terpenting perlu mengalami perubahan terlebih awal berbanding dengan institusi-institusi lain ke arah mencapai matlamat tersebut. Potensi dan kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Untuk mancapai matlamat pendidikan di Malaysia, satu anjakan paradigma diperlukan dalam cara pemikiran dan penggunaan teknologi ( Wan Zahid, 1996 ). Usaha perlu dibuat dan penglibatan secara menyeluruh perlu dilakukan sehingga kita mampu mereka dan menghasilkan sesuatu mengikut acuan pemikiran kita sendiri, tanpa bersandar dan berharap kepada orang lain. Selagi kita bertaraf ‘pengguna’, selagi itulah kita tidak mampu merubah apa-apa.